Sejarah asal usul nama KERATONG disebarkan secara lisan oleh penduduk tempatan bahawa berasal dari penemuan binatang kera dan lotong (sejenis monyet) yang ditemui semasa pembukaan tanah rancangan ini.
Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa ia berasal dari nama bunga yang ditemui di kawasan ini yang dinamakan bunga ‘keratong’. Bunga ini berbau wangi dan saiznya besar serta berwarna merah. Menurut mereka lagi, bunga ini hanya ditemui di kawasan ini sahaja. Tetapi kini bunga ini sudah pupus. Kebanyakan penduduk di sini tidak pernah melihat bunga tersebut.
Ada juga yang berpendapat bahawa nama Keratong diperolehi melalui perkataan “kerat tong”. Hal ini berikutan penduduk orang Asli yang sebelum ini mendiami kawasan ini menjadikan tong yang dikerat sebagai beg untuk mengisi hasil-hasil kutipan hutan mereka.
(Sumber : Penduduk Setempat)